Jumaat, 11 Mei 2012

66 Tahun: Perjuangan Diteruskan..

Hari ini genaplah usia UMNO yang sudah mencecah 66 tahun. Alhamdullilah! Bukan mudah untuk sesebuah parti politik itu bertahan untuk sekian kali lamanya apatahlagi di dalam negara yg terdiri daripada pelbagai kaum dan latarbelakang. Sepanjang tempoh itu juga, pelbagai onak dan duri, suka dan duka diharungi. Dari pengalaman ini semestinya mematangkan serta memperkasakan UMNO.  

Dan yakinilah, semua ini tidak akan jadi kenyataan tanpa keredhaan dan ketentuan Illahi. Tidak akan jadi kenyataan tanpa penyatuan ahli-ahlinya. Dan pasti juga tidak akan jadi kenyataan tanpa sokongan rakyat. Syukur! 

Ada juga yang sinis pertikai akan usia sebenar UMNO ini. Kita faham akan kenyataan itu tetapi harus diingat, UMNO kini adalah kesinambungan UMNO dahulu. Tidak terputus! Perjuangan dan matlamat tetap sama, tidak berubah yakni Demi Agama, Bangsa dan Negara. Malah, UMNO tetap dianggotai dan diiktiraf oleh para pejuangnya terdahulu. Dan kesinambungannya diwariskan kepada generasi kini. 

UMNO kini perlu mendampingi generasi muda. Perlu lebih fahami aspirasi 
generasi Y ini kerana mereka inilah pewaris kepimpinan dan peneraju negara. Jangan menidakkan suara, pandangan dan jangan sesekali meminggirkan mereka. Sediakan peluang dan libatkan mereka dalam agenda parti dan negara. Yakin, setiap individu itu ada keupayaan dan ideanya. Rapatkan generasi dahulu dan kini. Pastinya ramuan ini dapat memantapkan UMNO dan sekaligus menjamin kelangsungan masa depan negara yang lebih gemilang.

Jangan dilupa pejuang tidak bernama mahupun berwajah - para blogger. 24/7 tidak berhenti membantu UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan mendekati, menyampaikan maklumat kepada masyarakat serta menangkis tohmahan jahat lawan di alam maya. Bukan kemewahan dituntut, bukan nama yang dicari. Cukup sekadar jasa mereka diingati, dihormati dan tidak dipinggirkan. UMNO harus berganding bahu menghulurkan kerjasama tidak berbelah bagi dalam menyalurkan maklumat kepada pejuang maya ini. 

Musuh kita berada dimana-mana sahaja apatahlagi di zaman teknologi maklumat tanpa sempadan, kebebasan suara dan hak asasi manusia ini. Namun, musuh terbesar ialah pengkhianat yang bernafsukan kuasa di dalam UMNO ini sendiri. Perasaan hasad-dengki dan perpecahan ini harus ditangani secepat mungkin tanpa memilih kasih. Yang salah harus dihukum dan dibuang jauh dari UMNO. Ahli sebegini ibarat virus dimana jika tidak diubati, pasti menular dan membunuh.

UMNO jangan mudah hidup selesa dikala lawan menyusun strategi. Harus sentiasa bersedia, terbuka mendengar kritikan dan tidak takut menghadapi dan membuat perubahan demi kebaikan parti ini sendiri. Harus mantap dalam perjuangan dan yakini Allah Ta'ala sentiasa bersama dengan mereka yang benar. UMNO tidak harus bergantung kepada kelemahan, perpecahan dan skandal parti lawan. Harus berpijak di bumi nyata membina kekuatan dengan sendiri. Dekati akar umbi kerana disitulah suara sebenar rakyat menyampaikan isi hati dan idea. Rapatkan jarak hubungan kepimpinan dengan ahlinya dibawah serta masyarakat. Setiap isu yang timbul harus ditangani dan dijawab segera. Tiada satu pun parti politik di dunia ini sempurna, namun penambahbaikan harus berterusan dan itu yang UMNO perlu laksanakan. 

Perjuangan UMNO memberi manfaat kepada semua kaum. Walaupun UMNO menjadi tunjang belakang kepada Barisan Nasional, setiap keputusan dibuat berdasarkan kesepakatan bersama rakan-rakan komponen lain menerusi semangat setiakawan Barisan Nasional dimana ia terbukti berkesan dalam mengimbangi keadilan dan mendengar suara setiap warga Malaysia. 

Perjalanan masih jauh. Perjuangan belum selesai dan takkan selesai hingga nafas dan titisan darah yang terakhir. Tidak rela UMNO mewarisi negara ini kepada generasi seterusnya tanpa kekuatan dan kegemilangan, tanpa masa depan. Tak sanggup UMNO melihat Islam dihina, bangsanya mengemis dan negaranya tergadai. UMNO harus rapat dengan semua golongan lapisan masyarakat, kawan mahupun lawan. Setiap janji harus ditunaikan demi menarik dan mengekalkan kepercayaan rakyat kepada kita.  Pastikan Gelombang Merah UMNO akan terus menerajui negara. Selagi hayat dikandung badan, selagi Sang Saka Bangsa megah berkibar! InsyaAllah.

Selamat menyambut ulangtahun UMNO yang ke-66. Terima kasih semua.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Daulat Tuanku! Dirgahayu negaraku! Hidup UMNO!

Al-Fatihah buat pejuang-pejuang UMNO yang telah banyak berjasa dan meninggalkan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan