Jumaat, 11 Mei 2012

66 Tahun: Perjuangan Diteruskan..

Hari ini genaplah usia UMNO yang sudah mencecah 66 tahun. Alhamdullilah! Bukan mudah untuk sesebuah parti politik itu bertahan untuk sekian kali lamanya apatahlagi di dalam negara yg terdiri daripada pelbagai kaum dan latarbelakang. Sepanjang tempoh itu juga, pelbagai onak dan duri, suka dan duka diharungi. Dari pengalaman ini semestinya mematangkan serta memperkasakan UMNO.  

Dan yakinilah, semua ini tidak akan jadi kenyataan tanpa keredhaan dan ketentuan Illahi. Tidak akan jadi kenyataan tanpa penyatuan ahli-ahlinya. Dan pasti juga tidak akan jadi kenyataan tanpa sokongan rakyat. Syukur! 

Ada juga yang sinis pertikai akan usia sebenar UMNO ini. Kita faham akan kenyataan itu tetapi harus diingat, UMNO kini adalah kesinambungan UMNO dahulu. Tidak terputus! Perjuangan dan matlamat tetap sama, tidak berubah yakni Demi Agama, Bangsa dan Negara. Malah, UMNO tetap dianggotai dan diiktiraf oleh para pejuangnya terdahulu. Dan kesinambungannya diwariskan kepada generasi kini. 

UMNO kini perlu mendampingi generasi muda. Perlu lebih fahami aspirasi 
generasi Y ini kerana mereka inilah pewaris kepimpinan dan peneraju negara. Jangan menidakkan suara, pandangan dan jangan sesekali meminggirkan mereka. Sediakan peluang dan libatkan mereka dalam agenda parti dan negara. Yakin, setiap individu itu ada keupayaan dan ideanya. Rapatkan generasi dahulu dan kini. Pastinya ramuan ini dapat memantapkan UMNO dan sekaligus menjamin kelangsungan masa depan negara yang lebih gemilang.

Jangan dilupa pejuang tidak bernama mahupun berwajah - para blogger. 24/7 tidak berhenti membantu UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan mendekati, menyampaikan maklumat kepada masyarakat serta menangkis tohmahan jahat lawan di alam maya. Bukan kemewahan dituntut, bukan nama yang dicari. Cukup sekadar jasa mereka diingati, dihormati dan tidak dipinggirkan. UMNO harus berganding bahu menghulurkan kerjasama tidak berbelah bagi dalam menyalurkan maklumat kepada pejuang maya ini. 

Musuh kita berada dimana-mana sahaja apatahlagi di zaman teknologi maklumat tanpa sempadan, kebebasan suara dan hak asasi manusia ini. Namun, musuh terbesar ialah pengkhianat yang bernafsukan kuasa di dalam UMNO ini sendiri. Perasaan hasad-dengki dan perpecahan ini harus ditangani secepat mungkin tanpa memilih kasih. Yang salah harus dihukum dan dibuang jauh dari UMNO. Ahli sebegini ibarat virus dimana jika tidak diubati, pasti menular dan membunuh.

UMNO jangan mudah hidup selesa dikala lawan menyusun strategi. Harus sentiasa bersedia, terbuka mendengar kritikan dan tidak takut menghadapi dan membuat perubahan demi kebaikan parti ini sendiri. Harus mantap dalam perjuangan dan yakini Allah Ta'ala sentiasa bersama dengan mereka yang benar. UMNO tidak harus bergantung kepada kelemahan, perpecahan dan skandal parti lawan. Harus berpijak di bumi nyata membina kekuatan dengan sendiri. Dekati akar umbi kerana disitulah suara sebenar rakyat menyampaikan isi hati dan idea. Rapatkan jarak hubungan kepimpinan dengan ahlinya dibawah serta masyarakat. Setiap isu yang timbul harus ditangani dan dijawab segera. Tiada satu pun parti politik di dunia ini sempurna, namun penambahbaikan harus berterusan dan itu yang UMNO perlu laksanakan. 

Perjuangan UMNO memberi manfaat kepada semua kaum. Walaupun UMNO menjadi tunjang belakang kepada Barisan Nasional, setiap keputusan dibuat berdasarkan kesepakatan bersama rakan-rakan komponen lain menerusi semangat setiakawan Barisan Nasional dimana ia terbukti berkesan dalam mengimbangi keadilan dan mendengar suara setiap warga Malaysia. 

Perjalanan masih jauh. Perjuangan belum selesai dan takkan selesai hingga nafas dan titisan darah yang terakhir. Tidak rela UMNO mewarisi negara ini kepada generasi seterusnya tanpa kekuatan dan kegemilangan, tanpa masa depan. Tak sanggup UMNO melihat Islam dihina, bangsanya mengemis dan negaranya tergadai. UMNO harus rapat dengan semua golongan lapisan masyarakat, kawan mahupun lawan. Setiap janji harus ditunaikan demi menarik dan mengekalkan kepercayaan rakyat kepada kita.  Pastikan Gelombang Merah UMNO akan terus menerajui negara. Selagi hayat dikandung badan, selagi Sang Saka Bangsa megah berkibar! InsyaAllah.

Selamat menyambut ulangtahun UMNO yang ke-66. Terima kasih semua.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Daulat Tuanku! Dirgahayu negaraku! Hidup UMNO!

Al-Fatihah buat pejuang-pejuang UMNO yang telah banyak berjasa dan meninggalkan kita.

Sabtu, 3 Disember 2011

Ikrar Taat Setia : Keikhlasan Dalam Perjuangan

Pada: 3hb. Disember 2011
Tempat: Perhimpunan Agung UMNO 2011
Oleh: Timbalan Presiden UMNO, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. 

"Kami orang UMNO, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan iri hati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

"Kami orang UMNO berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya nanti.

"Kami orang UMNO bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah s.w.t, bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13.

"Kami orang UMNO berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihan raya nanti.

Sumber: www.bernama.com

Ikrar yang julung kali dilakukan ini merupakan titik permulaan, dijadikan ukuran lambang taat setia setiap ahli kepada parti UMNO demi perjuangan memartabatkan agama, mengangkat maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.

'Moga tiada lagi pengkhianat di dalam parti keramat UMNO ini'

Bersama-sama rakan Barisan Nasional, setiap ahli harus bangkit, bersatu dan memberikan komitmen tidak berbelah demi memastikan kemenangan parti bukan sahaja ketika pilihanraya, tetapi menjuarai rakyat dan negara sepanjang masa. Hapuskan prasangka, tolak ketepi perasaan dengki dan elakkan budaya tikam belakang. Jangan sampai tergadai masa depan serta maruah Islam, Melayu dan Tanahair.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Daulat Tuanku! Dirgahayu Negaraku! Hidup UMNO

Isnin, 28 November 2011

Satu Suara, Satu Perjuangan, Satu Perhimpunan

Perhimpunan Agung UMNO 2011
Tarikh: 29hb. November hingga 3hb. Disember 2011
Tempat: Putra World Trade Center (PWTC), Kuala Lumpur

Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
Tarikh: 29 November 2011 (Selasa)
Masa: 8.00 malam
Tempat: Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
Perasmi: YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timb. Presiden UMNO

Upacara Naik Bendera dan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2011
Tarikh: 1 Disember 2011 (Khamis)
Masa: 8.00 pagi
Tempat: Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
Perasmi: YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO

Alhamdullilah. Pertemuan terbesar orang Melayu seluruh dunia, Perhimpunan Agung UMNO kembali lagi. Dan kali ini ramai juga yang mengatakan kemungkinan besar ini adalah perhimpunan terakhir sebelum menjelangnya Pilihanraya Umum Ke-13. Terakhir atau tidak, kerja-kerja demi agama, bangsa dan negara perlu diteruskan kerana itu matlamat utama UMNO. Tidak hanya bekerja untuk memenangi pilihanraya semata kerana kita dinilai 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun. Harus bersedia sepanjang masa.

Tapi jika benarlah ini yang terakhir, diharapkan Perhimpunan kali ini dijadikan landasan perkukuh perpaduan setiap ahli dalam menghadapi 'peperangan' PRU-13 yang dijangka paling sengit dalam sejarah negara. Jadikan Perhimpunan ini sebagai permulaan memantapkan parti. PERKUKUHKAN PARTI, ITULAH AGENDA UTAMA.

Banyak pengharapan yang dinanti oleh semua pihak hasil dari Perhimpunan ini. Baik bagi ahli, penyokong, pemerhati, generasi muda, golongan atas pagar malah oleh parti pembangkang. Mengaku atau tidak, Perhimpunan terbesar orang Melayu ini adalah pemangkin dan contoh setiap parti politik yang ada dalam negara - agendanya, resepinya, aturcaranya, pengisiannya serta pengurusan. Pedulikan apa yang bakal diputar oleh pihak pembangkang. Memang itu agenda mereka. Jangan UMNO terjerumus dalam permainan kotor pembangkang. Kita ikhlas berjuang, berkata benar dan mengharapkan keredhaan Illahi. Yakin demi kebenaran. 

Setiap perwakilan, pembahas mempunyai kebebasan dalam menyuarakan isu dan pendapat dalam ucapannya. Positif, negatif, isu berkaitan parti, negara, parti pembangkang...apa sahaja. Cuma apa yang dimohon adalah dalam menyampaikan ucapan dan hujah, pastikan ia matang, mempunyai nilai dan isi yang bermutu, tidak menyakiti hati pihak lain, menyuarakan minda dan hasrat suara hati akar umbi. ITU PALING PENTING. Gunakan Perhimpunan ini sebagai peluang untuk meluahkan sebarang idea, pemasalahan dan penyelesaian. Kongsikan bersama! Amat diharap ia dapat menyentuh kesemua soal yang sentiasa dekat dan memenuhi setiap aspirasi rakyat. Jika mampu, biar menyeluruh - agama, pendidikan, generasi muda, sosial, teknologi, ekonomi, alam sekitar dan pelbagai lagi. Setiap persoalan perlukan jawapan! Masanya bukan kemudian, tetapi kadar segera.

Bagi kepimpinan, tiada apa yang dipinta kecuali dengarlah luahan dan permintaan dengan hati terbuka. Mereka bukan mengharapkan keajaiban tuntutan mereka dipenuhi segera tetapi berharap sekurang-kurangnya ia diambil serius oleh kepimpinan. Mereka pun faham, bukan mudah untuk memenuhi setiap permintaan. Ingat, duduknya pemimpin parti diatas adalah atas undian jutaan ahli UMNO. 

Perhimpunan ini juga membuka peluang untuk kita mengenali antara satu sama lain. Dari Perlis hinggalah ke Sabah. Perwakilan dapat bertukar-tukar fikiran secara formal mahupun santai. Juga selain dari berpeluang mendengar ucapan pemimpin dan perwakilan, jenguklah keluar dewan. Bergaul bersama akar umbi yang bukan bergelar perwakilan, tiada pun sebarang jawatan dalam parti tetapi mereka tetap hadir kerana sayangkan parti. Setiap individu itu ada cerita dan pengalaman yang barangkali ingin dikongsikan bersama. Dekati mereka. Percayalah, berbagai-bagai cerita yang anda dapat. Baik, buruk, masalah, pujian, makian..semua lengkap. Jangan lupa juga, Perhimpunan ini juga membuka peluang kepada golongan peniaga menjual produk, barangan serta sekaligus dapat meluaskan jaringan perniagaan. Macam-macam ada! 

Buktikan UMNO wajib dipertahankan dan terus relevan..diterima oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat. UMNO bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi adalah untuk semua. Kita berjuang demi keadilan dan semangat harmoni tanpa perlu menggadaikan asas perjuangan UMNO. UMNO mahu dihormati..bukan ditakuti. Dekati mereka yang mempunyai perasaan syak-wasangka terhadap UMNO dengan ilmu dan budaya terbuka dalam perbincangan. Terangkan satu persatu asas perjuangan dan agenda serta yakinkan mereka UMNO disini berusaha melakukan yang terbaik untuk semua. Buktikan juga UMNO itu kuat atas sifatnya sendiri tanpa perlu mengambil peluang akan kelemahan dan perpecahan parti lawan. Amat bermaruah bila UMNO dikenali hanya kerana sumbangan dan perjuangannya. Tiada sebab lain.

Dengarlah amanat, hayatilah setiap ucapan, pulanglah nanti dengan membawa semangat yang kuat untuk terus berjuang serta menjamin kekuatan parti keramat ini sehingga ke akhir zaman. InsyaAllah.

Selamat bersidang, selamat berjuang kepada para perwakilan.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Daulat Tuanku! Dirgahayu Negaraku! Hidup UMNO!

Sabtu, 26 November 2011

Persefahaman Asas Perpaduan Ummah 1433H

Salam Ma'al Hijrah 1433 buat seluruh umat Islam. Moga kita sentiasa dirahmati dan diberkati Allah S.W.T dalam menempuhi perjalanan di tahun baru ini. 

'Pada malam tertutup buku amalan yang lama dan diangkat ke atas dan buku baru bakal dibuka sempena bulan Muharam yang baru ini..'

Ketika saban hari umat Islam menempuh pelbagai dugaan serta cabaran besar yang menguji keimanan dan kesabaran, amat mustahil ia dapat diharungi secara berseorangan. Kekuatan melalui perpaduan amat penting ketika menghadapi apa jua situasi demi memastikan Islam itu terus kekal gemilang dan dihormati. Perpaduan akan menghasilkan satu benteng yang kukuh, terhindar dari anasir-anasir jahat yang mahu melihat perpecahan persaudaraan umat Islam.

Serangan dari pelbagai penjuru termasuk dari mereka yang kononnya memperjuangkan Islam itu sendiri adalah contoh jika umat Islam itu sendiri tidak bersatu tidak mustahil benteng Islam itu mudah roboh diserang musuh-musuhnya.

Bangkit bersatu amat diharap. Membuang sebarang prasangka buruk antara kita adalah satu langkah. Bertolak ansur dan bersifat terbuka antara kita dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu isu adalah antara satu jalan ke arah perpaduan. Jika dapat diketemukan titik persefahaman sebagai asas, tidak mustahil penyatuan Ummah dicapai. InsyaAllah.

Rayakanlah Tahun Baru Islam 1433H..Agungkanlah syiar-syiar Allah. Jadikan Rasullullah S.A.W teladan utama dan ikutan.

Hijrah itu Pengorbanan, Hijrah itu Perjuangan, Hijrah itu Persaudaraan, Hijrah membentuk Perpaduan. Selamat menyambut 1 Muharram dan Ma'al Hijrah 1433H.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!



 

Jumaat, 4 November 2011

Salam AidilAdha 1432H / 2011 Masihi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuhu..
Salam Sejahtera & Salam 1 Malaysia.

Bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita masih diberikan kesempatan untuk terus bersama meraikan Hari Raya AidilAdha pada tahun ini. Juga, bersedekahlah Al-Fatihah kepada insan yang tersayang, sahabat dan para pejuang yang terlebih dahulu meninggalkan kita.

Ringkasannya, 'Eid Ul-Adha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain AidilFitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. AidilAdha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalender Hijrah Islam. Bermula dengan Takbir AidilAdha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat AidilAdha serta khutbah AidilAdha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

AidilAdha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Salah satu keistimewaan AidilAdha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah AidilAdha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Salah satu lagi perkara penting yang berlaku pada hari perayaan ini dalam sejarah Islam ialah pada 10 Zulhijjah di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah..

Ringkasan dipetik dari: ms.wikipedia

Hayatilah dan luaskan erti pengorbanan di bulan dan hari yang mulia ini. Carilah erti agar kita akhirnya mempunyai satu pandangan dan jawapan yang tersendiri. Setiap dari kita mempunyai matlamat dan perjalanan hidup yang perlu ditempuhi. Dan setiap perjalanan itu menuntut pengorbanan dari diri secara sedar atau tidak. Lakukan dengan ikhlas dan sabar.

Begitulah jua dalam perjuangan mendaulatkan Agama, memperjuangkan Bangsa dan mempertahankan Tanahair. Kita tidak lari dari menghadapi pelbagai rintangan yang memerlukan kita untuk berkorban deminya..

Musuh kita di akhir zaman ini amat menakutkan...Betapa perlunya kita bersatu dan saling bersedia..


Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! 

Daulat Tuanku, Dirgahayu Tanahairku, Hidup UMNO!

Konvensyen Media Sosial 1 Malaysia

KONVENSYEN MEDIA SOSIAL 1 MALAYSIA
Masa: 8.30 pagi  hingga  4.00 petang
Tarikh: 20hb. November, 2011
Tempat: Dewan Tun Razak 4, PWTC, Kuala Lumpur

Satu program sehari yang dinamakan 'Konvensyen Media Sosial 1 Malaysia' akan diadakah pada 20hb. November, 2011 bermula jam 8.30 pagi bertempat di Bangunan PWTC, Kuala Lumpur.

Program ini merupakan anjuran bersama beberapa badan bebas (NGO) yang aktif sebagai pengamal media sosial antaranya; 1 Agenda, PahangKu, MyKMU.Net dan lain-lain.

Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Hj. Mohd. Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak dijangka anakn melancarkan Konvensyen ini.

Objektif utama Konvensyen ini adalah untuk menggabungkan kesemua pengamal media sosial  negara dibawah satu pertubuhan kelab yang akan dikenali dengan nama 'Sukarelawan Media Sosial 1 Malaysia' atau singkatannya 'myVO1CE'. 

Dengan tertubuhnya myVO1CE diharapkan pengamal media sosial dapat bergerak dengan lebih tersusun, jalinan kerjasama yg lebih luas dan berjuang dengan satu langkah yang sama serta seiring.

Antara tokoh dan selebriti yang dijangka hadir adalah;  Sayed Munawar Sayed Mustar, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian, Sdr. Tony Yew, Sdr. Norizan Shariff,  Sdr. Azri Nizam, Sdr. Sassi The Don, Sdri. Azma Dahari & Sdri. Lisa Surihani.

Layari www.1agenda.org.my untuk keterangan lanjut.

Tidak ketinggalan, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Maran turut menghantar peserta dan wakil ke Konvensyen ini. 

Hasil yang bakal tercipta dari Konvensyen ini akan dilaporkan untuk dikongsi bersama dengan warga PPU Kg.Dalam khususnya selepas berakhirnya program julung kalinya ini.

Sentiasa bersedia..melangkah berjuang biarpun di alam maya. 

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Rabu, 21 September 2011

Lahirnya Malaysia...

Selamat menyambut Hari Malaysia yang ke - 48 pada 16 September 2011 lalu. Maaf jika terlambat menyampaikan ucapan. Al-maklum, sibuk dengan tugasan dan memenuhi jemputan rumah terbuka Aidilfitri. Itupun ada yang ter'miss'. Maaf dipohon. 

Sempena hari bersejarah ini, lagi elok kita isikan dengan pengisian sejarah. Sesuatu yang dikuatiri amat mudah dilupakan. Bila dilupakan, adalah nanti 'pakar-pakar' sejarah yg tidak bertauliah cuba 'mereka-cipta' sejarah serta mempengaruhi minda..terutamanya minda generasi muda. 

Dan disini disertakan penulisan sejarah yg diambil daripada beberapa buah blog. Jika ada salah dan silap, sila tegur dan kongsikan bersama. Jangan kedekut ilmu.

Hari Malaysia diadakan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan menyertai bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura untuk membentuk Malaysia. Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun, 1963, tetapi kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963, untuk sealiran dgn Hari Merdeka. Beberapa isu yang berkaitan dengan Indonesia dan bantahan Filipina untuk pembentukan Malaysia melambatkan pengisytiharan itu kepada 16 September tahun yang sama. Penangguhan itu juga dilakukan untuk membolehkan masa pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menjalankan referendums di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak mengenai penyertaan dua negeri-negeri dalam sebuah persekutuan yang baru. 

Sebab pembentukan Malaysia

1. Senario politik di Singapura
Sebab utama penubuhan Malaysia ialah untuk menentang kegiatan komunis yang kian bertambah di Singapura pada tahun 1950-an. Ejen-ejen komunis telah meresap masuk ke sekolah Cina dan kesatuan sekerja. Pada tahun 1954, komunis telah menganjurkan satu permogokan di sebuah syarikat bas. Mogok ini merebak menjadi rusuhan. Selain itu, komunis juga merampas pucuk pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PETIR) yang sejak tahun 1959 menguasai Kerajaan Singapura di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Mereka menjadi ahli PETIR sehingga menubuhkan satu kumpulan berhaluan kiri dalam PETIR. Pada mulanya, Lee Kuan Yew berbaik-baik dengan mereka tetapi akhirnya pertelingkahan telah berlaku. Pertelingkahan ini menyebabkan PETIR kalah dalam pilihanraya kecil pada tahun 1961 iaitu Pilihanraya Hong Lim dan Pilihanraya Anson. Kekalahan PETIR menunjukkan pengaruh komunis bertambah kuat. Akibatnya, Lee Kuan Yew mengusir golongan berhaluan kiri ini dari PETIR. Pengaruh komunis turut berkembang sehingga satu parti berhaluan komunis iaitu Barisan Sosialis dibawah pimpinan Lim Chin Siong ditubuhkan. Tunku Abdul Rahman bimbang komunis meresap masuk Tanah Melayu. Diharapkan melalui gagasan Malaysia, hasrat komunis menguasai Singapura gagal yang seterusnya dapat menyekat kemaraan mereka.

2. Senario politik di Sarawak
Pada tahun 1951, Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut yang berhaluan komunis ditubuhkan tetapi dibubarkan semasa Darurat. Walau bagaimanapun, satu pertubuhan komunis sulit iaitu Persatuan Belia Maju Sarawak telah bergerak di kalangan kesatuan sekerja, pelajar dan petani. Mereka menghasut masyarakat Cina menentang British. Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) telah dipengaruhi oleh komunis. Lalu, Kerajaan British melancarkan operasi pisang untuk menyekat pengaruh komunis dalam SUPP tetapi gagal. Diharap melalui gagasan ini, kestabilan politik yang diperolehi dapat menentang ancaman komunis.

3. Mengimbangi penduduk
Penubuhan Malaysia juga bertujuan mengimbangi jumlah penduduk. Tunku Abdul Rahman menjangkakan Sabah, Sarawak dan Brunei kalau digabungkan dengan Tanah Melayu akan membawa kepada faedah sosial. Penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura menimbulkan masalah ketidakseimbangan kaum. Hal ini disebabkan ¾ daripada penduduk Singapura berbangsa Cina. Kemasukan Sabah, Sarawak dan Brunei akan mengimbangi kadar kaum-kaum kerana 70% daripada penduduk Borneo Utara ialah bumiputera.

4. Kemajuan ekonomi bersama
Pembentukan Malaysia membolehkan kelima-lima buah kawasan menikmati kemajuan ekonomi bersama. Singapura, Brunei dan Tanah Melayu telah mencapai kemajuan ekonomi yang amat memuaskan, manakala Sabah dan Sarawak ialah negeri yang masih mundur. Penubuhan Persekutuan Malaysia membolehkan Sabah dan Sarawak dimajukan. Hal ini bermaksud kekayaan dari kawasan maju akan dipindah ke kawasan mundur untuk membiayai projek pembangunan.

5. Mempercepatkan proses kemerdekaan
Penubuhan gagasan Malaysia bertujuan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. British berjanji akan memberi kemerdekaan yang lebih awal sekiranya Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura bergabung dengan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia. Penggabungan ini juga akan menamatkan penjajahan British di rantau ini dan menjamin kedaulatan dan keselamatan wilayah-wilayah itu daripada ancaman kuasa luar.

Reaksi-reaksi negeri terlibat

1. Singapura
Lee Kuan Yew selaku Ketua Mentei Singapura menyokong gagasan ini kerana PETIR dapat meneruskan kekuasaannya di Singapura, ancaman komunis dapat dikawal, perkembangan ekonomi Singapura menjadi lebih pesat dan Singapura dapat merdeka dengan lebih awal. Namun demikian, Barisan Sosialis dan Parti Buruh menentang gagasan ini. Pada 1 September 1962, Lee Kuan Yew telah mengadakan satu pungutan suara bagi mendapatkan persetujuan rakyat Singapura mengenai penyertaan Singapura dalam Malaysia. Mengikut keputusan, 71.1% daripada rakyat Singapura menyokong penubuhan Malaysia. Melalui gagasan Malaysia, taraf pelabuhan bebasnya dikekalkan, Singapura mempunyai kuasa autonomi dalam bidang kewangan, pendidikan dan perburuhan dan Singapura akan mendapat 15 kerusi dalam Parlimen Malaysia.

2. Sabah dan Sarawak
Pemimpin di kedua-dua negeri ini amat terperanjat dengan penubuhan Malaysia. Pemimpin-pemimpin di kedua-dua negeri ini membentuk Barisan Bersatu pada 9 Julai 1961 bagi menentang gagasan Malaysia. Pemimpin-pemimpin itu termasuk Ong Kee Hui (Pengerusi SUPP), Temenggung Jugah Anak Berieng (Yang Dipertua Parti Negara Sarawak – PANAS), Dato’ Mustapha bin Dato’ Harun dan Donald Stephen (ahli tak rasmi Majlis Undangan Sabah). Mereka menentang gagasan kerana takut Sabah dan Sarawak akan dikuasai oleh Tanah Melayu. Mereka takut kedudukan politik mereka terjejas. Mereka juga bimbang keperibadian negeri masing-masing akan hilang. Golongan peniaga Cina pula bimbang kuasa ekonomi akan dirampas oleh Tanah Melayu dan Singapura. Selain itu, mereka juga berpendapat Sabah dan Sarawak perlu diberi kemerdekaan dahulu sebelum menyertai Malaysia. Kaum bumiputera bukan Islam turut menentang gagasan Malaysia. Bantahan mereka disuarakan melalui Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) dan sebagainya. Pemimpin di kedua-dua negeri menganggap gagasan Malaysia merupakan satu helah untuk meluaskan kuasa Tanah Melayu dan menggantikan penjajahan British. Pada bulan Jun 1961, Tunku Abdul Rahman berangkat ke Sabah dan Sarawak dan mendapati rakyat di sana telah salah faham mengenai gagasan Malaysia. Oleh itu, sebuah persidangan Persatuan Parlimen Komanwel diadakan di Singapura pada Julai 1961. Beberapa orang daripada Barisan Bersatu telah dihantar oleh British ke persidangan ini. Mereka membincangkan tentang gagasan Malaysia. Akhirnya, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan untuk mengumpulkan pendapat Sabah dan Sarawak mengenai gagasan ini. Pada bulan Ogos 1961, Abang Haji Mustapha (Pengerusi PANAS) menyokong gagasan Malaysia. Kemudian, Donald Stephen dan Dato’ Mustapha turut menyokong gagasan ini selepas melawat ke Tanah Melayu dan berunding dengan Tunku Abdul Rahman.

3. Brunei
Sultan Omar Ali Saifudin menyokong gagasan ini tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh A.M. Azahari menentangnya. A.M. Azahari menentang gagasan ini kerana Brunei akan menjadi jajahan Malaysia. Beliau mahukan Brunei merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia. Beliau juga merancang menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak menjadi Persekutuan Borneo Utara di bawah pimpinan Sultan Brunei. PRB menang dalam pilihanraya Majlis Daerah dan Majlis Undangan yang diadakan pada Ogos dan September 1962. Kemenangan ini menyakinkan Azahari bahawa rakyat Brunei turut menentang gagasan Malaysia. Selain itu, Azahari juga merasa dirinya kuat kerana Filipina dan Indonesia menyokongnya. Dengan keyakinan bahawa gagasan ini akan gagal, PRB melancarkan pemberontakan bersenjata pada 7 Disember 1962. Pemberontakannya ditumpaskan oleh Kerajaan Brunei dengan bantuan tentera dari British dan Tanah Melayu. Azahari melarikan diri ke Filipina dan mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri dan Sultan Omar Ali Saifudin sebagai Ketua Kerajaan Persekutuan Borneo Utara. Walaupun pada mulanya Sultan Brunei menyokong gagasan ini tetapi baginda telah menarik diri pada Julai 1963 kerana baginda tidak mahu membayar cukai hasil daripada pengeluaran minyaknya kepada kerajaan pusat Malaysia dalam tempoh 10 tahun. Selain itu, baginda juga tidak berpuas hati kerana diberi kedudukan yang paling rendah dalam senarai nama Sultan-sultan. Tambahan pula, rakyat Brunei juga tidak bersetuju menyertai Malaysia.
 
Proses pembentukan Malaysia

1. Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM)
JPPM ditubuhkan pada 23 Julai 1961. Ia dipengerusikan oleh Donald Stephen (anggota Majlis Undangan Sabah). Anggotanya ialah Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu), Lee Kuan Yew (Singapura), Dato’ Mustapha Dato’ Harun (Sabah), Temenggung Jugah Anak Berieng (Sarawak) dan Dato’ Setia Pangeran Ali (Brunei). 

Tujuan JPPM ialah:
a. Memberitahu orang ramai mengenai Malaysia.
b. Mengumpulkan sambutan mereka terhadap Malaysia.
c. Menyediakan memorandum mengenai cara pembentukan Malaysia.

JPPM telah memberi peluang kepada pemimpin Sabah dan Sarawak mengemukakan pandangan mengenai gagasan Malaysia. JPPM telah mengadakan 4 mesyuarat di Kota Kinabalu (21 Ogos 1961), Kuching (18 Disember 1961), Kuala Lumpur (6 Januari 1962) dan Singapura (1 Februari 1962). Hasil daripada rundingan yang dijalankan. Sarawak mengeluarkan kertas putih mengenai Malaysia pada 4 Januari 1962 dan Sabah pada 31 Januari 1962. Kemudian, satu memorandum disusun semula dan dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold pada 23 Februari 1962. 

Kandungan memorandum ini ialah:
a. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas perlembagaan Malaysia.
b. Kerajaan Persekutuan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan.
c. Islam – agama rasmi tetapi rakyat bebas beragama.
d. Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain masih boleh digunakan.
e. Hak istimewa seperti orang Melayu diberi kepada rakyat pribumi Sabah dan Sarawak.
f. Sabah, Sarawak berhak mengawal imigrasennya sendiri.
g. Perwakilan Parlimen berasaskan jumlah penduduk dan jumlah luas kawasan.
Memorandum ini disokong oleh rakyat Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu.

2. Suruhanjaya Cobbold
Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada Januari 1962. Ia dipengerusikan oleh Lord Cobbold (bekas Gabenor Bank of England). Ahli-ahlinya terdiri daripada Sir Anthony Abel dan Sir David Watherston iaitu wakil British dan Muhammad Ghazalie Shafie dan Dato’ Wong Pow Nee iaitu wakil Tanah Melayu. 

Tugas utama suruhanjaya ini ialah:
a. Meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia.
b. Membuat syor-syor perlembagaan.
Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya dari 19 Februari sehingga 18 April 1962. Sebanyak 50 perjumpaan dengan 690 kumpulan orang ramai diadakan. Selain itu, 2000 atau lebih memorandum telah diterima. Pada 18 April 1962, laporan disiapkan dan diserahkan kepada Kerajaan Tanah Melayu dan British pada Jun 1962. Pada 1 Ogos 1962, laporan ini diumumkan mengenai pandangan rakyat Sabah dan Sarawak:
a. 1/3 menyokong kuat Malaysia
b. 1/3 menyokong dengan syarat
c. 1/3 hendak merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia

Dengan itu, suruhanjaya ini turut menyokong gagasan Malaysia dan mengesyorkan syor-syor Perlembagaan Malaysia seperti dibawah:
a. Nama persekutuan baru – Malaysia.
b. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas Perlembagaan Malaysia.
c. Kedudukan istimewa kaum pribumi Sabah dan Sarawak dijamin.
d. Sabah dan Sarawak berhak memilih Ketua Negeri sendiri.
e. Penduduk pribumi Sabah dan Sarawak dibenarkan berkhidmat dalam perkhidmatan awam secepat mungkin.
f. Dasar pendidikan, ugama, imigresen, perwakilan Parlimen, kedudukan bumiputera, kewangan, kewarganegaraan dan perlembagaan negeri di Sabah dan Sarawak ditentukan oleh Majlis Undangan Negeri masing-masing.
g. Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan. Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi sehingga DUN masing-masing membuat keputusan.
Hampir semua syor diterima oleh British dan diumumkan pada 1 Ogos 1962, Malaysia akan ditubuhkan pada 31 Ogos 1963. Jawatankuasa Antara Kerajaan akan ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia.

3. Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK)
JAK ditubuhkan pada Ogos 1962 untuk merangka Perlembagaan Malaysia. Pengerusinya ialah Lord Landsdowne dan Timbalan Pengerusinya ialah Tun Abdul Razak. Anggotanya terdiri daripada wakil British, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Wakil Sabah telah mengemukakan memorandum yang mengandungi 20 perkara. Antaranya ialah:
a. Agama Islam – agama rasmi persekutuan. Tiada agama rasmi di Sabah.
b. Bahasa Inggeris – bahasa rasmi Sabah; Bahasa Melayu – bahasa kebangsaan.
c. Imigresen orang asing Sabah di bawah kuasa negeri Sabah.
d. Sistem pendidikan Sabah dikekalkan.
e. Perwakilan Parlimen harus mengambil kira keluasan kawasan dan bilangan penduduk.

Pemimpin Sarawak tidak mengemukakan memorandum tetapi bersetuju dengan memorandum yang dikeluarkan oleh Sabah.

27 Februari 1963 : JAK mengeluarkan laporan
8 Mac 1963 : Dibentangkan di Majlis Negeri Sarawak
13 Mac 1963 : Dibentangkan di Sabah.

Kedua-dua negeri menerima laporan ini dan laporan ini seterusnya diluluskan oleh Parlimen Tanah Melayu dan menjadi Akta Malaysia 1963. Kandungannya ialah:
a. Agama Islam – agama rasmi kecuali Sabah dan Sarawak.
b. Bahasa Melayu – bahasa rasmi persekutuan.
Bahasa Inggeris – bahasa rasmi Sabah dan Sarawak sehingga 10 tahun selepas Hari Malaysia apabila Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak membuat pindaan.
c. Imigresen Sabah dan Sarawak dibenarkan mengawal sendiri.
d. Sistem pendidikan Sabah dan Sarawak dikekalkan di bawah kerajaan negeri sehingga Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri ini membuat pindaan.
e. Perwakilan Parlimen – Sabah 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 kerusi.
Berdasarkan laporan JAK, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Pada masa ini Brunei menarik diri secara rasminya.

4. Pengisytiharaan Malaysia
Berkenaan dengan penubuhan Malaysia, Filipina dan Indonesia menentang kuat. Beberapa rundingan telah diadakan antara kedua-dua negara dengan Tanah Melayu. Akhirnya, MAPHILINDO ditubuhkan. Pemimpin ketiga-tiga negeri bersetuju meminta Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk meninjau kembali pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai penyertaan mereka ke Malaysia. Suruhanjaya PBB yang diketuai oleh Lawrence Michaelmore menjalankan tugasnya dari 16 Ogos – 5 September 1963. Oleh itu, tarikh penubuhan yang ditetapkan terpaksa ditunda. Mengikut laporan PBB, lebih 70% rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia. Maka pada 16 September 1963, penubuhan Malaysia diisytiharkan secara rasminya.
 
Penentangan gagasan Malaysia
1. Filipina
Apabila JPPM dan Suruhanjaya Cobbold menunjukkan sokongan kepada penubuhan Malaysia, Filipina telah menuntut hak ke atas Sabah bagi waris Sultan Sulu pada 22 Jun 1962. Filipina mendakwa Sabah dipajak dan bukan diserahkan kepada Baron Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1874. Pajakan ini telah dibatalkan pada tahun 1958. Kerajaan British enggan mengakui kedaulatan Filipina ke atas Sabah. Kerajaan Filipina juga mengemukakan tuntutan yang sama kepada Tanah Melayu tetapi ditolak. Hubungan diplomatik Filipina-Tanah Melayu menjadi genting. Walau bagaimanapun, usaha-usaha dijalankan untuk menyelesaikan persengketaan. Akhirnya, Filipina juga mengiktiraf Persekutuan Malaysia pada Jun 1966.

2. Indonesia
Pada mulanya, Indonesia mengalu-alukan pembentukan Malaysia. Namun, Setiausaha Agung PKI, D.N. Aidit menyifatkan ia merupakan satu penjajahan baru yang mengancam Indonesia. Setelah tercetusnya pemberontakan Brunei, Presiden Indonesia, Sukarno menerima tekanan hebat dari PKI dan mengubah sikap serta menentang gagasan Malaysia. Aidit telah melawat ke Tanah Melayu dan menghasut rakyat dan tentera memberontak. Hubungan Tanah Melayu dengan Indonesia menjadi renggang. Walaupun bersetuju meminta Suruhanjaya PBB meninjau semula pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia, Indonesia masih enggan mengakui laporan itu yang menunjukkan penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia. Sukarno melalui Menteri Luarnya, Dr. Subandrio mengumumkan dasar Konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’ . Penubuhan Malaysia didakwa akan menggagalkan rancangan Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya. Dasar ini telah memuncak dengan keganasan, yang melancarkan serangan di sekitar sempadan Sabah dan Serawak. Sukarno juga menghantar gerilanya mendarat di pantai barat Johor untuk mengintip.

Pada tahun 1965, Parti Komunis Indonesia gagal dalam usahanya merampas kuasa di Indonesia, dan Sukarno berjaya digulingkan. Seterusnya Sukarno digantikan dengan Jeneral Suharto. Rundingan damai berjaya dicapai dan ditandatangani pada bulan Ogos, 1966.

Sebab Indonesia melancarkan konfrontasi ialah:
a. Tekanan PKI ke atas Kerajaan Indonesia.
b. Penubuhan Malaysia menghalang cita-cita Sukarno untuk menubuhkan Indonesia    Raya yang termasuk Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.
c. Sukarno merasa tersinggung kerana tidak diajak berunding mengenai penubuhan Malaysia.

Pada bulan November 1963, serangan gerila dilancarkan. Tentera Indonesia mendarat di Pontian, Labis, Muar dan Kota Tinggi. Pengintip-pengintip juga dihantar. Akibatnya:

a. Dato’ Dr. Ismail Abdul Rahman telah meminta bantuan dari PBB dan membuat bantahan mengenai serangan Indonesia.
b. Pasukan pertahanan tempatan atau askar wataniah ditubuhkan.
c. Britain memberi bantuan tentera.
d. Australia, New Zealand, Canada memberi bantuan senjata.
e. Rundingan sulit dengan pegawai Indonesia bukan komunis diadakan.
f. Dato’ Abdul Razak melawat ke negara Afro-Asia dan Dunia Ketiga untuk mengikis propaganda Indonesia yang memburuk-burukkan nama Malaysia.

Pada 30 September 1965, gerakan komunis untuk merampas kuasa gagal. Konfrontasi menjadi berkurangan. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik berusaha menamatkan konfrontasi dan mewujudkan persefahaman dengan Malaysia. Hasrat menamatkan konfrontasi wujud apabila Suharto menggantikan Sukarno. Hasilnya, perjanjian damai ditandatangani di Jakarta pada 11 Ogos 1966 selepas Tun Abdul Razak berunding dengan Adam Malik di Bangkok.

Sejarah pembentukan Malaysia sebenarnya tidak panjang. Ianya tidak mempunyai tahap-tahap yang lama seperti ditempuh dalam mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Namun begitu pelbagai peristiwa berlaku dalam jangkamasa dua atau tiga tahun sebelum penubuhan yang menimbulkan reaksi penentangan, konflik antara negeri dan kesemuanya ini adalah perkara-perkara mustahak untuk difahami.

Peristiwa – peristiwa ini membawa banyak implikasi dan pengajaran. Akhirnya, 30 bulan selepas hasrat penubuhan malaysia diumumkan dengan serius oleh Tunku Abdul Rahman, Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.

Tiada sejarah..tiadalah kita pada hari ini...

Hubungan dan penyatuan yang telah diperjuangkan ini harus dipertahankan oleh generasi muda dan generasi mendatang. Keharmonian dan perpaduan demi kesejahteraan keseluruhan rakyat warganegara Malaysia menjamin masa depan yang lebih baik dan dinikmati bersama. Bersatunya Malaysia menjadi benteng kuat dan besar dalam menangkis anasir-anasir jahat musuh yang ingin melumpuhkan perpaduan sekaligus berlakunya perpecahan. Sedangkan lidah lagi tergigit...tiada yang sempurna dan tiada apa yang tidak dapat diselesaikan. Syaratnya niat untuk kebaikan bersama dan sikap bertolak ansur. 

Selamat Menyambut Hari Malaysia ke - 48

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! 

Dirgahayu Malaysia...Tanah Tumpahnya Darahku!