Rabu, 7 Julai 2010

Ringkasan Intipati Usul Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Maran 2010

Pada 26hb. Jun 2010 yang lalu, bertempat di dewan UMNO Pekan Tajau, Maran, Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Maran 2010 telah dilangsungkan dengan jayanya. Dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.B Dato’ Mukhriz B.Tun Dr. Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sempena mesyuarat ini, satu usul iaitu usul politik telah dibawa oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Maran dan mendapat sokongan sebulat suara daripada para perwakilan.


Usul Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Maran
“Keistimewaan Ahli UMNO Melebihi Ahli Pembangkang”
Menginsafi bahawa dalam membentuk sebuah Negara bangsa yang berwibawa dan bermaruah memerlukan sokongan dan dokongan yang ampuh daripada ahli-ahlinya dalam menjana gagasan “1 MALAYSIA Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”. Keistimewaan merupakan hak dan istimewa yang perlu diberi kepada mereka yang sepatutnya memiliki hak atas apa yang diperjuangkan.
Menyedari bahawa dalam pelbagai aspek, ahli-ahli UMNO semakin terhakis hak dan keistimewaannya. Ahli-ahli UMNO seperti dianaktirikan, tidak dilayan dan diberi hak yang sewajarnya sebagai ahli parti yang memerintah. Sebagai sebuah parti yang memerintah adalah amat naif sekiranya ahli-ahlinya tidak memiliki keistimewaan melebihi daripada ahli-ahli pembangkang.
Meyakini bahawa di dalam jabatan-jabatan kerajaan terlalu ramai pegawai dan kakitangan yang menyokong pembangkang. Justeru akan menjadikan hasrat dan dasar kerajaan tidak dapat disampaikan dengan jelas. Pegawai-pegawai kerajaan harus telus berkomitmen tinggi dan beribawa agar segala hasrat kerajaan akan dapat disalur dengan betul tanpa ada unsur pengelewengan.
Selaras dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Maran membawa usul memberi hak keistimewaan kepada ahli-ahli UMNO kerana berasa kecewa dan sedih dengan senario semasa yang mana ahli-ahli UMNO tidak diberi keistimewaan sebagaimana mereka berusaha gigih untuk memenangkan parti. Tanah, rumah dan peluang pekerjaan diberi kepada ahli pembangkang. Di mana letaknya harga ahli UMNO? Adakah sekadar untuk gah dipandang tapi tidak mampu memiliki apa yang dipandang. Akhirnya ahli-ahli UMNO akan melayang.
Maka mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Maran yang bersidang pada hari ini, mengambil iltizam sebulat suara untuk:
1. Mendesak Majlis Tertinggi Parti memberi keutamaan kepada ahli UMNO dalam pembahagian tanah, rumah, peluang ekonomi dan pekerjaan.

2. Menyelidik dan mengenalpasti permohonan-permohonan kerja di jabatan kerajaan agar ahli-ahli UMNO diberi keutamaan.

Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Kampung Dalam, matlamat dan perjuangan yang ingin dicapai berkisar rapat dengan keperluan masa hadapan generasi muda dan belia – ekonomi dan rumah. Maka usul dan cadangan yang dibawa ke mesyuarat Perwakilan tersebut ialah:-
1. Memohon peruntukan bagi membina pagar di kawasan perkuburan serta peralatan berkaitan.
2. Memohon kelulusan lot-lot kosong untuk penempatan generasi muda.
3. Memohon Jabatan Perkhidmatan Haiwan memberi bantuan ternakan lembu.

Dalam memastikan matlamat tercapai, PPU Kg. Dalam akan sentiasa berjuang sehabis mungkin supaya masa hadapan dan keperluan ahlinya dan generasi muda terjamin. Kerjasama dan peluang-peluang latihan, ilmu dan ekonomi akan sentiasa dicari untuk kebaikan bersama. InsyaAllah.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Hidup UMNO!
Hidup Melayu!
Dirgahayu Negaraku!
Daulat Tuanku!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan