Isnin, 28 November 2011

Satu Suara, Satu Perjuangan, Satu Perhimpunan

Perhimpunan Agung UMNO 2011
Tarikh: 29hb. November hingga 3hb. Disember 2011
Tempat: Putra World Trade Center (PWTC), Kuala Lumpur

Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
Tarikh: 29 November 2011 (Selasa)
Masa: 8.00 malam
Tempat: Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
Perasmi: YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timb. Presiden UMNO

Upacara Naik Bendera dan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2011
Tarikh: 1 Disember 2011 (Khamis)
Masa: 8.00 pagi
Tempat: Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
Perasmi: YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO

Alhamdullilah. Pertemuan terbesar orang Melayu seluruh dunia, Perhimpunan Agung UMNO kembali lagi. Dan kali ini ramai juga yang mengatakan kemungkinan besar ini adalah perhimpunan terakhir sebelum menjelangnya Pilihanraya Umum Ke-13. Terakhir atau tidak, kerja-kerja demi agama, bangsa dan negara perlu diteruskan kerana itu matlamat utama UMNO. Tidak hanya bekerja untuk memenangi pilihanraya semata kerana kita dinilai 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun. Harus bersedia sepanjang masa.

Tapi jika benarlah ini yang terakhir, diharapkan Perhimpunan kali ini dijadikan landasan perkukuh perpaduan setiap ahli dalam menghadapi 'peperangan' PRU-13 yang dijangka paling sengit dalam sejarah negara. Jadikan Perhimpunan ini sebagai permulaan memantapkan parti. PERKUKUHKAN PARTI, ITULAH AGENDA UTAMA.

Banyak pengharapan yang dinanti oleh semua pihak hasil dari Perhimpunan ini. Baik bagi ahli, penyokong, pemerhati, generasi muda, golongan atas pagar malah oleh parti pembangkang. Mengaku atau tidak, Perhimpunan terbesar orang Melayu ini adalah pemangkin dan contoh setiap parti politik yang ada dalam negara - agendanya, resepinya, aturcaranya, pengisiannya serta pengurusan. Pedulikan apa yang bakal diputar oleh pihak pembangkang. Memang itu agenda mereka. Jangan UMNO terjerumus dalam permainan kotor pembangkang. Kita ikhlas berjuang, berkata benar dan mengharapkan keredhaan Illahi. Yakin demi kebenaran. 

Setiap perwakilan, pembahas mempunyai kebebasan dalam menyuarakan isu dan pendapat dalam ucapannya. Positif, negatif, isu berkaitan parti, negara, parti pembangkang...apa sahaja. Cuma apa yang dimohon adalah dalam menyampaikan ucapan dan hujah, pastikan ia matang, mempunyai nilai dan isi yang bermutu, tidak menyakiti hati pihak lain, menyuarakan minda dan hasrat suara hati akar umbi. ITU PALING PENTING. Gunakan Perhimpunan ini sebagai peluang untuk meluahkan sebarang idea, pemasalahan dan penyelesaian. Kongsikan bersama! Amat diharap ia dapat menyentuh kesemua soal yang sentiasa dekat dan memenuhi setiap aspirasi rakyat. Jika mampu, biar menyeluruh - agama, pendidikan, generasi muda, sosial, teknologi, ekonomi, alam sekitar dan pelbagai lagi. Setiap persoalan perlukan jawapan! Masanya bukan kemudian, tetapi kadar segera.

Bagi kepimpinan, tiada apa yang dipinta kecuali dengarlah luahan dan permintaan dengan hati terbuka. Mereka bukan mengharapkan keajaiban tuntutan mereka dipenuhi segera tetapi berharap sekurang-kurangnya ia diambil serius oleh kepimpinan. Mereka pun faham, bukan mudah untuk memenuhi setiap permintaan. Ingat, duduknya pemimpin parti diatas adalah atas undian jutaan ahli UMNO. 

Perhimpunan ini juga membuka peluang untuk kita mengenali antara satu sama lain. Dari Perlis hinggalah ke Sabah. Perwakilan dapat bertukar-tukar fikiran secara formal mahupun santai. Juga selain dari berpeluang mendengar ucapan pemimpin dan perwakilan, jenguklah keluar dewan. Bergaul bersama akar umbi yang bukan bergelar perwakilan, tiada pun sebarang jawatan dalam parti tetapi mereka tetap hadir kerana sayangkan parti. Setiap individu itu ada cerita dan pengalaman yang barangkali ingin dikongsikan bersama. Dekati mereka. Percayalah, berbagai-bagai cerita yang anda dapat. Baik, buruk, masalah, pujian, makian..semua lengkap. Jangan lupa juga, Perhimpunan ini juga membuka peluang kepada golongan peniaga menjual produk, barangan serta sekaligus dapat meluaskan jaringan perniagaan. Macam-macam ada! 

Buktikan UMNO wajib dipertahankan dan terus relevan..diterima oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat. UMNO bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi adalah untuk semua. Kita berjuang demi keadilan dan semangat harmoni tanpa perlu menggadaikan asas perjuangan UMNO. UMNO mahu dihormati..bukan ditakuti. Dekati mereka yang mempunyai perasaan syak-wasangka terhadap UMNO dengan ilmu dan budaya terbuka dalam perbincangan. Terangkan satu persatu asas perjuangan dan agenda serta yakinkan mereka UMNO disini berusaha melakukan yang terbaik untuk semua. Buktikan juga UMNO itu kuat atas sifatnya sendiri tanpa perlu mengambil peluang akan kelemahan dan perpecahan parti lawan. Amat bermaruah bila UMNO dikenali hanya kerana sumbangan dan perjuangannya. Tiada sebab lain.

Dengarlah amanat, hayatilah setiap ucapan, pulanglah nanti dengan membawa semangat yang kuat untuk terus berjuang serta menjamin kekuatan parti keramat ini sehingga ke akhir zaman. InsyaAllah.

Selamat bersidang, selamat berjuang kepada para perwakilan.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Daulat Tuanku! Dirgahayu Negaraku! Hidup UMNO!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan